3 Beradik Daki Bukit Cari ‘Line’ Untuk Ikuti PdPR

pdpr.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Cabaran terpaksa mendaki bukit dan bertahan dengan gigitan nyamuk di dalam hutan bukti kesungguhan tiga beradik di Kampung Gana dekat sini untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

Walaupun tidak biasa dengan suasana PdPR seperti itu namun bagi Joshua Emmanual Jeffery, 12, bersama dua adiknya Jordon Emmanuel, 9, dan Joshean Emmanuel, 8, pengalaman pertama belajar di dalam hutan sangat menyeronokkan.

Ketiga-tiga murid Sekolah Kebangsaan Cina (SKC) Anglo Chinese Kota Kinabalu ini menjalani sesi PdPR seperti biasa sebelum ini. Tetapi sejak kembali ke Kampung Gana, mereka teruja dapat belajar seperti kanak-kanak lain yang sukar mendapat liputan internet.

Ketika ditanya sama ada rindu dengan suasana belajar dalam kelas, Joshua akui rindu untuk belajar bersama-sama dengan rakan sekelas yang lain.

Bagaimanapun katanya, pengalaman belajar secara PdPR dengan kesukaran mendapat liputan internet juga satu pengalaman baharu, walaupun terpaksa mendaki bukit sejauh kira-kira 500 meter dari kawasan rumah.

“Memang saya dan adik-adik tidak biasa belajar seperti ini, tapi kami masih dapat mengikuti kelas bersama guru dan rakan yang lain,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan ini.

Ketiga-tiga beradik itu mengambil masa sekitar tiga jam berada di atas bukit untuk mengikuti sesi PdPR dan ayah mereka Jeffery Joseph, 41, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan Penampang membina ruang meja dan kerusi daripada buluh untuk keselesaan anak-anaknya belajar.

Jeffery berkata, tindakan membawa keluarganya pulang ke kampung halaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah demi keselesaan anak-anaknya yang lebih suka tinggal di kampung berbanding di bandar.

Justeru katanya, walaupun terpaksa berdepan dengan masalah kesukaran mendapat liputan internet, beliau masih mampu mencari alternatif lain seperti membina ruang pembelajaran di atas bukit untuk mengikuti sesi PdPR. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top