3 ADUN WARISAN keluar parti, sokong kepemimpinan Hajiji

3-adun.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN mengumumkan keluar meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tiga ADUN terbabit ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

Menerusi satu kenyataan bersama, ketiga-tiga mereka menyatakan mengambil keputusan itu dengan harapan dapat meneruskan khidmat yang baik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut pertimbangan termasuklah selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan yang kami wakili, maka kami dengan ini mengisytiharkan keluar WARISAN.

“Dengan ini, kami memilih berkhidmat sebagai ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dengan harapan agar kami dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili,” kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga ADUN terbabit juga mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, rakan serta penyokong parti berkenaan.

Serentak pengumuman itu juga, mereka bertiga melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat Ahli Majlis Tertinggi.

“Kami berpandangan sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan dihentikan kerana ia memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.

“Kami akan bekerja bersama-sama Ketua Menteri dan kerajaan negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan peningkatan hasil negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Kami juga bertekad terus memberi tumpuan dan perkhidmatan lebih baik untuk rakyat di kawasan kami khasnya dan negeri Sabah serta Malaysia amnya,” katanya.

Sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020, WARISAN kehilangan sembilan ADUN termasuk tiga yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Enam yang lain adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan). – Berita Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top