29 KIR mangsa kebakaran Kg Laut terima sumbangan daripada MUTIARA GRS

mutiara-GRS.jpg

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menyantuni kanak-kanak istimewa semasa melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bongawan sempena Program Amal Kebajikan pertubuhan itu di Bongawan pada Rabu.

Kongsi Bersama

BONGAWAN: Seramai 29 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa bencana kebakaran Kampung Laut di sini menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) sempena Program Amal Kebajikan di perkarangan Surau Kampung Laut pada Rabu.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS menyampaikan sumbangan RM200 kepada semua KIR, selain sumbangan peribadi beliau.

Juliah dan rombongan MUTIARA GRS turut melawat dan meninjau tapak kebakaran dengan diiringi oleh Pegawai Daerah Membakut, Encik Ibrahim Terki dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan, Haji Yusoff Terki.

Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Mac 2024 lalu, sebanyak 12 buah rumah musnah dalam kebakaran, melibatkan seramai 29 KIR dan membabitkan 97 orang mangsa.

Pada 6 Mac 2024 lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada mangsa kebakaran Kampung Laut.

Sementara itu, Juliah bersama rombongan MUTIARA GRS turut melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bongawan di Taman Bongawan Ria, yang kini mempunyai seramai 26 kanak-kanak berumur diantara 5 tahun hingga 23 tahun.

Juliah turut menyerahkan sumbangan daripada MUTIARA GRS sebanyak RM1,000 kepada Pengerusi PPDK Bongawan, Puan Normah Mammad, selain menyantuni anak-anak istimewa di pusat itu.

Turut hadir ialah Naib Yang Di-Pertua II MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Linda Ewit yang juga Pengerusi Biro Kebajikan, Pengerusi Biro Agama MUTIARA GRS, Datin Lenny Natasha Tan Sri Musa. Ahli-ahli MUTIARA GRS yang hadir terdiri daripada Datin Sri’ Asiah Udian, Datin Doreen Asiah Azlan@Philip, Datin Nurul Ililiyana@ Doris Joprit dan isteri Ahli Parlimen Kimanis, Datin Dr.Rohamini@ Rumani Sibin. – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top