29 KIR Mangsa Badai Terima Sumbangan Pusat Zakat Sabah

arifin.jpg

Arifin (empat dari kiri) meninjau lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Seramai 29 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat dibadai ombak dan ribut Jumaat lepas, masing-masing menerima sumbangan zakat RM500.

Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata sumbangan tersebut dihulurkan oleh Pusat Zakat Sabah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“MUIS memberikan sumbangan RM500 bagi setiap KIR mangsa bencana ombak ini dan kita akan menunggu laporan terkini berkemungkinan ada yang tercicir.

“Setakat ini, kita menyediakan jumlah keseluruhan RM40,000 bantuan untuk mangsa musibah termasuk mangsa di Pulau Gaya.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terjejas dengan bencana ini,” ujarnya.

Beliau yang diiringi Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad meninjau lokasi kejadian bencana di Kg Tanjung Aru Baru dekat sini, pada Jumaat.

Menurut Arifin, keperluan mangsa akan diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersama pasukan keselamatan dan diberikan maklumat mengenai bencana dari semasa ke semasa.

Sementara itu, UPPM Tg Aru, Mohd Ridwan Aklee memaklumkan pihaknya merekodkan seramai 29 mangsa dengan jumlah rumah yang dipercayai mengalami kerosakan melebihi 25 buah.

“Jumlah mangsa bagi kawasan Tanjung Aru ialah 29 orang yang telah berdaftar, tetapi laporan yang kita terima semalam seramai 35 orang.

“Bagaimanapun, kita telah mengesahkan dua buah rumah ranap, empat laluan titian kayu telah roboh dan putus di Kg Tanjung Aru Baru.

“Manakala di Kg Tanjung Aru Lama, dua buah rumah mengalami kerosakan dan satu tidak selamat didiami serta sebuah jambatan juga telah roboh.

“Di Pulau Gaya, kita masih menunggu laporan penuh tetapi saya difahamkan terdapat beberapa buah rumah juga telah roboh di Kg Pondo Pulau Gaya dan beberapa jambatan rosak,” jelas beliau.

Kejadian ombak dan ribut itu didakwa penduduk sekitar sebagai yang paling teruk pernah berlaku di kawasan berkenaan.-PENERANGAN/Sabah360online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top