KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan akuan bersumpah (SD) terbaharu ditandatangani lebih 112 ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri Kesepuluh kepada Istana Negara, hari ini (21 November 2022).
SD itu dipercayai turut ditandatangani oleh 29 calon Barisan Nasional (BN) yang menang di kerusi Parlimen masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November.
Mengikut perkiraan, sokongan yang diterima Muhyiddin mencecah 140 ahli Parlimen, sekali gus dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.
Bercakap kepada media selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi, Muhyiddin yakin memperoleh SD mencukupi untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan jumlah pemimpin yang menandatangani SD itu.
Sementara itu menurut laporan Utusan Malaysia kesemua 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa menandatangani SD berkenaan.
Kata laporan itu, berasaskan sumber SD tersebut dipercayai ditandatangani pada malam tadi dengan diuruskan ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Tindakan ke semua ahli Parlimen berkenaan didakwa kerana tidak bersetuju dengan pendirian Presiden UMNO yang dipercayai ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataan memaklumkan mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.
Mengenai perkara itu, Muhyiddin menegaskan dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Kalau mengikut Perlembangaan, (sokongan) ahli-ahli Parlimen. Tak kata daripada parti mana. (Sokongan) individu boleh, secara kumpulan dan parti mereka pun boleh,” katanya.
Di bawah undang-undang antilompat, ahli parlimen tidak kehilangan kerusi mereka jika mereka tidak berundur atau meletak jawatan daripada parti mereka.
Secara teorinya, ini membolehkan ahli parlimen menentang arahan parti dalam menyokong calon perdana menteri.