KUALA LUMPUR: Sejumlah 289 sekolah di Sabah direkodkan mempunyai bangunan usang dengan 225 daripadanya dikategorikan sebagai bangunan berskala enam iaitu tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, baki 64 sekolah lagi memiliki bangunan berskala tujuh iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ia bagi menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang meminta KPM menyatakan statistik sekolah usang di Sabah dan rangka kerja strategik bagi menangani masalah tersebut.
Sementara itu, menurut KPM bagi tempoh 2016 hingga 2022, sebanyak 274 sekolah melibatkan 282 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan usang di sekolah seluruh Sabah telah diluluskan dengan kos peruntukan RM1.961 billion. – BERNAMA