285 koloni setinggan dikenal pasti di Sabah

setinggan.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan Sabah telah mengenal pasti sebanyak 285 koloni setinggan di seluruh negeri melibatkan 33,566 rumah dan 130,397 penduduk, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata hanya tiga daerah daripada 27 daerah di Sabah iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran tidak mempunyai koloni setinggan, justeru setiap daerah disaran supaya mempunyai pelan bagi menangani isu setinggan ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata bagi mengatasi masalah itu, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan untuk menyediakan kajian keperluan perumahan, mengenal pasti serta menyenaraikan tanah tersedia untuk pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Saya ingin melihat lebih banyak daerah atau PBT yang sifar setinggan. Daerah atau PBT yang mempunyai banyak koloni setinggan hendaklah mencapai penurunan yang ketara menjelang akhir 2025 nanti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau juga mahu semua PBT berusaha memperkasa khidmat kepada penduduk masing-masing, malah mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan kekangan dihadapi seperti isu kebersihan dan bukan hanya menunggu konsesi pembersihan dilantik.

Dr Joachim juga sering menerima terus aduan awam mengenai tahap kebersihan, serta lampu-lampu jalan yang tidak menyala pada waktu malam, justeru tindakan proaktif perlu untuk menyelesaikan masalah terbabit sebelum aduan itu dibuat.

Beliau berkata jelajah ke PBT di Sabah telah dimulakan dan telah melawat Majlis Daerah di Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan, dan hasil lawatan itu mendapati masalah dihadapi PBT hampir sama.

Beliau berkata antara masalah dikenal pasti adalah kekurangan kewangan dan kakitangan, kemudahan asas serta kemudahan PBT umumnya usang dan tidak diselenggara dengan baik.

“Saya mengingatkan Presiden dan Pegawai Eksekutif (PBT) kepada prinsip setiap PBT sepatutnya berusaha ke arah mandiri kewangan, dan bukan hanya berharap sumbangan dan pemberian kerajaan. Semua PBT hendaklah berusaha menjana pendapatan dan mengelakkan pembaziran serta ketirisan.

“Setiap PBT juga harus mempunyai senarai keutamaan projek-projek pembangunan, mengikut keperluan mendesak PBT masing-masing dan bukan mengikut senarai permohonan-permohonan daripada pihak luar. Kebersihan kawasan PBT masing-masing hendaklah sentiasa terjaga,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top