28 pemenang pingat emas SAGA 2025 Keningau dan Tambunan diberi penghargaan

Dr-Jeffrey-1.jpg

Dr Jeffrey bergambar kenangan pada Majlis Apresiasi Atlit SAGA Tahun 2023 bagi Daerah Keningau dan Tambunan, di Dewan KRK, Kampung Samalang, Keningau. (Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page)

Kongsi Bersama

KENINGAU: Seramai 28 atlit SAGA tahun 2023 dari daerah Keningau dan Tambunan telah diberi penghargaan berbentuk tunai RM1,000 untuk setiap pingat emas yang diperolehi.

Penghargaan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga ahli parlimen P.180 dan ADUN N.39 Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan pada Majlis Apresiasi Atlit SAGA Tahun 2023 bagi Daerah Keningau dan Tambunan, di Dewan KRK, Kampung Samalang, Keningau, semalam.

“Seperti yang telah saya umumkan semasa Majlis Penyerahan Bendera pada 12 Disember tahun lalu di Dewan KBS Keningau bahawa satu penghargaan akan saya berikan kepada atlit-atlit yang berjaya mendapatkan pingat emas semasa SAGA tahun lalu.

“Tujuan majlis penghargaan ini adalah sebagai perangsang kepada para atlit agar berusaha lebih gigih untuk kekal berjaya dan seterusnya memperolehi pingat emas dalam temasya sukan SAGA,” kata Kitingan.

Beliau turut berharap dengan penghargaan itu para atlit, jurulatih, pengurus serta ibu bapa merasa pencapaian atlit-atlit tersebut dihargai.

Temasya sukan SAGA menyaksikan sebanyak 27 daerah seluruh Sabah telah mengambil bahagian dalam 10 acara sukan wajib dan 13 acara pilihan.

Kejayaan Daerah Keningau merangkul 18 emas, 15 perak dan 25 gangsa telah meletakkannya di tempat kedua selepas Daerah Kota Kinabalu.

Sementara itu Daerah Tambunan mendapat kedudukan keenam setelah berjaya merangkul 10 emas, 7 perak dan 6 gangsa.

Selain itu beberapa atlit Daerah Tambunan berjaya memecahkan beberapa rekod SAGA, antaranya Hanssen Yap Soon Fu untuk 100 meter lelaki (10.46 saat), Abernetha Tadius untuk 100 meter hurdles (14.96 saat) dan Dexter Bedie untuk 200 meter lelaki (22.06 saat), justeru menjadikan Daerah Tambunan Juara Olahraga Keseluruhan.

Menurut Kitingan, semua itu tidak akan tercapai tanpa latihan sistematik untuk para atlit oleh jurutlatih-jurulatih yang komited, peranan para pengurus pasukan dan dorongan para ibu bapa kepada anak-anak mereka.

“Saya berharap pada tahun akan datang ada lagi pencapaian lebih baik dan mengangkat nama kedua-dua daerah ini sebagai daerah yang banyak melahirkan para atlit untuk mewakili Sabah ke peringkat sukan yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Komanwel dan seterusnya ke peringkat dunia,” katanya.

Beliau yakin bahawa ia tidak mustahil untuk dicapai jika latihan teratur dan sistematik, mempunyai jurulatih-jurulatih yang berwibawa, disertai sokongan dan dorongan para ibu bapa.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik, Pegawai Daerah Kenigau Peter Jonu Moinjil, Pegawai Daerah Tambunan Sabitun Makajil, OCPD Keningau SUP Yampil anak Garai, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Johari @ Jaibet bin Sabin.

Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top