TANJUNG MALIM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cara terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah dengan mencari jalan yang terbaik agar semua pihak berada dalam satu wadah yang sama.
Justeru beliau berpandangan perbezaan pendapat yang timbul mengenai PRN negeri berkenaan dapat dimurnikan dan jangan sesekali memberikan kekuatan kepada pihak musuh yang hanya ingin melihat parti berpecah belah.
‘’Benar perbezaan pendapat itu harus diraikan tetapi kita harus menghormati ‘establishment’ yang telah ditentukan. Maka tentulah lebih munasabah mana-mana Pengerusi UMNO negeri dan BN negeri mengetuai jentera yang ada di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) apatah lagi di dalam PRN di sesebuah negeri.
‘’Maka apa yang berlaku di Sabah sebenarnya masih boleh dimurnikan dan pada pendapat saya jangan beri kekuatan kepada pihak musuh politik kita. Mereka tentu mahu melihat perpecahan berlaku di kalangan kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian Ketika kunjungannya ke Felda Besout 2, di sini. Selain beramah mesra dengan pengundi serta jentera parti, Ahmad Zahid turut bersama penduduk setempat yang lain di Masjid Saidina Uthman pada majlis sambutan Maal Hijrah.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya mengajak semua pihak di Sabah biarpun mempunyai pendapat yang berlainan untuk sama-sama merealisasikan Hasrat rakyat negeri berkenaan yang rindukan UMNO dan BN.
‘’Saya telah berunding dengan timbalan presiden, naib-naib presiden untuk membahagikan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan dan kita yakin zon-zon yang telah ditentukan di kalangan kami akan ditangani oleh rakan-rakan untuk membantu di sana.
‘’Begitu juga kita telah meminta semua pengerusi perhubungan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi untuk diberikan tanggungjawab di zon-zon di negeri Sabah. Saya harap semua pihak yang ada di Sabah yang biarpun mempunyai pendapat yang agak berlainan untuk bersama-sama merealisasikan bahawa tujuan dan matlamat pada kali ini rakyat Sabah amat rindukan UMNO dan BN,” katanya lagi.
‘’Inilah yang harus diberikan keutamaan dan saya yakin perbedaan pendapat ini akan dapat diselesaikan jika kita terus istiqamah dan bersatu hati untuk menentukan matlamat parti bagi memenangi pilihan raya ini dan sudah pasti menjadi keutamaan kepada semua kepimpinan di peringkat akar umbi dan pelbagai peringkat lain,’’ ujarnya.