262 calon bersaing untuk 73 kerusi Dewan Belia Sabah

abqaree-mbs.jpg

Abqaree Fawwaz Abekan

KOTA KINABALU: Seramai 262 calon bakal bersaing di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selama enam hari bagi mewakili DUN masing-masing pada Persidangan Dewan Belia Sabah (DBS) 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Oktober.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, proses undian bermula 2 hingga 7 Oktober itu akan melibatkan seramai 32,985 orang pemilih berdaftar belia di seluruh Sabah.

“Proses pengundian akan dilaksanakan pada 2 hingga 7 Oktober melalui QR Code yang dikeluarkan melalui halaman Facebook rasmi MBS dan IKEBS pada 2 Oktober, jam 12.01 pagi.

“Seramai 32,985 orang pemilih berdaftar daripada kalangan belia berusia 15 hingga 35 tahun akan terlibat di dalam pemilihan pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abqaree berkata, jumlah penyertaan belia dalam DBS 2023 yang julung kali diadakan ini merupakan sesuatu di luar jangkaan sekaligus menggambarkan minat anak-anak muda terhadap program kepimpinan belia berprestasi tinggi.

“Pada mulanya MBS hanya menjangkakan penyertaan seramai 5,000 orang pemilih. Sehingga 20 September 2023 daftar pemilih hanya mencapai 3,782 pemilih yang berdaftar dan Jawatankuasa DBS sebulat suara untuk melanjutkan tempoh pendaftaran sehingga 30 September 2023 atas faktor daftar pemilih yang masih rendah dan beberapa kawasan DUN belum mendaftarkan calon mereka masing-masing.

“Lonjakan penyertaan seramai 32,985 orang pemilih sepanjang tempoh pelanjutan pendaftaran memberi gambaran baharu kepada MBS bahawa belia di negeri ini sangat dahagakan program kepimpinan berprestasi tinggi.

“Justeru, DBS merupakan platform kepimpinan terbaik yang akan kita usahakan untuk dikekalkan dan ditambah baik pada tahun-tahun mendatang,” ujar Abqaree.

DBS merupakan program simulasi persidangan DUN Sabah bagi memberi peluang kepada belia menyuarakan pandangan dan idea dalam sesi persidangan yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Oktober.

Sesi persidangan yang akan diadakan bakal melibatkan 73 Ahli DBS yang memenangi pemilihan di setiap DUN di Sabah.

Pendaftaran calon dan pemilih berusia 15 sehingga 35 tahun yang dibuka bermula 2 September lalu telah ditutup pada 30 September.

Manakala proses pengundian akan dilaksanakan pada 2 hingga 7 Oktober, jam 5.30 petang sebelum pengumuman pemenang bagi setiap DUN dilakukan sejurus peti undian dalam talian ditutup. – Warta Oriental

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top