KOTA KINABALU: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) menerima 260,399 permohonan untuk 668 kekosongan jawatan pada tahun lepas.
NST dalam laporannya memetik Pengerusi Suruhanjaya Tan Sri Sukarti Wakiman sebagai berkata 668 kekosongan itu adalah untuk pelbagai jawatan dan gred.
“Selain pelantikan baharu, SPANS turut menguruskan hal berkaitan perkhidmatan awam termasuk pemberian taraf berpencen, pengesahan jawatan, pengisytiharan aset, tindakan tatatertib dan kenaikan pangkat.
“Secara keseluruhan, 6,899 kes merentasi 27 fungsi SPANS telah dijalankan tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan selepas kunjungan hormat Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu di sini.
Sukarti berkata tujuan kunjungan itu adalah untuk mengemukakan laporan tahunan aktiviti SPANS, seperti yang digariskan di bawah Perkara 37(10) Perlembagaan Sabah.
Hadir sama Timbalan Pengerusi SPANS Datuk Claudius Roman, setiausaha Diana Daria Amit dan ahli suruhanjaya yang lain.