KUDAT: Matunggong adalah sebuah kawasan yang berpotensi besar untuk mewujudkan produk pelancongan desa.
Antara kelebihan Matunggong ialah pantainya yang cantik dan kekayaan budaya masyarakat etnik Rungus yang boleh diketengahkan khususnya kemahiran mereka dalam pembuatan gong, kraftangan, tenunan, sulaman dan kerja manik.
Demikian kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Mojungki semasa melancarkan program pertandingan kebersihan dan keceriaan rumah-rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong di rumah panjang Kampung Lajong di sini, pada Selasa.
Pertandingan selama sebulan itu disertai oleh 26 buah kampung di bawah kategori kebersihan dan keceriaan rumah panjang.
“Pertandingan ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada penghuni rumah panjang mengenai kepentingan kebersihan kepada persekitaran kampung,”kata Julita dalam kenyataan medianya hari ini.
Julita yang juga Adun Matunggong turut berharap melalui program ini, kampung-kampung yang terlibat boleh menyertai program ‘Rural Tourism’ (Pelancongan Desa @homestay).
“Saya berharap pertandingan ini memberi kesedaran kepada penduduk kampung khususnya yang tinggal di rumah panjang agar dapat melihat potensi mereka untuk terlibat dalam industri pelancongan desa,” ujarnya.
Julita menekankan empat perkara utama iaitu kebersihan persekitaran kawasan rumah panjang, keceriaan dengan mengutamakan ciri hiasan dan rekabentuk motif tradisi etnik Rungus.
Selain itu, perkara pelupusan sampah serta kitar semula turut ditekankan.
“Perkara yang disebutkan ini kelihatan mudah tetapi usaha ini tidak akan berhasil sekiranya tidak disertai dengan komitmen dan keinginan yang tinggi,” katanya.
Julita berharap inisiatif ini akan berterusan dan mendapat sokongan daripada penghuni rumah panjang sehingga kita melihat hasil yang ketara.
Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Matunggong yang membantu menjayakan program ini.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah (ADO), Wiley Lampaki; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Marius Masain; kakitangan UPPM, OKK Somuil Majuin; Ketua-Ketua Kampung serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).