SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon dan ADUN Elopura Calvin Chong menyampaikan roti Creamos yang disumbangkan oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad kepada penduduk daerah Sandakan.
Syarikat berkenaan telah menyerahkan 25,000 roti Creamos ini di pejabat Parlimen Sandakan, ADUN Elopura dan Tanjong Papat untuk diagihkan kepada penduduk dalam kawasan berkenaan.
Antara kawasan pengedaran roti kepada penduduk semalam termasuk PPR Taman Harmoni, Sri Taman Batu 3 dan Taman Jade Apartment.
Vivian Wong mengucapkan terima kasih kepada Kim Teck Cheong Consolidated Berhad kerana memenuhi tanggungjawab korporat sosial (CSR) mereka dan bermurah hati menyumbangkan roti ini untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.
Beliau berkata kemurahan hati Kim Teck Cheong Consolidated Berhad membolehkan lebih ramai orang untuk peduli keperluan masyarakat terutamanya ketika masa yang sukar kini dan menjelang musim perayaan.
Dalam pada itu, Vivian memberitahu orang ramai yang mendaftar untuk program vaksinasi di kaunter khidmat bergerak yang dikendalikan oleh Pusat Khidmat Parlimen Sandakan juga akan diberikan roti Creamos.
Dalam perkembangan lain, Vivian berkata, pihaknya juga akan mengagihkan kurma dan roti Creamos ini kepada beberapa buah masjid dan agensi kerajaan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan datang dan ini juga antara lain berkongsi perayaan dengan rakyat.-Utusan Borneo