TAMPARULI: Seramai 25 bekas ahli parti UPKO Cawangan Kampung Rungus menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).
Kumpulan yang diketuai mantan Ketua Cawangan UPKO Rungus, Assin Duntuk @ Dolimbu, menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PBS di hadapan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim dalam satu majlis ringkas, di Kampung Rungus, dekat sini pada Sabtu.
Majlis yang sama turut menyaksikan penyertaan semula mantan Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Jovitha Sorinon.
Jovitha yang sebelum ini meninggalkan PBS untuk menyertai UPKO, pernah memegang jawatan kedua tertinggi Wanita PBS Bahagian Tamparuli yang diterajui Datin Malianah Ugau, sehingga kini.
Manakala seorang lagi bekas pemimpin Wanita UPKO Bahagian Tuaran, Murni Kulian, turut sama menyerahkan borang keahlian PBS pada majlis tersebut.
Menurut Jahid, kemasukan mereka menunjukkan sokongan dan penerimaan rakyat kepada PBS kekal utuh dan kuat.
“Sebelum ini dalam satu program Santai Pemuda anjuran Pergerakan Pemuda PBS Cawangan Kampung Limbungan bersama Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, kita turut menerima sebanyak 49 borang keahlian,” katanya.
Beliau yang juga Ketua PBS Bahagian Tamparuli, yakin selepas ini lebih ramai rakyat Tamparuli, malah di seluruh Sabah akan memilih untuk menyertai PBS.
“PBS sudah mencapai umur 37 tahun, sehingga kini kekal relevan sebagai parti untuk semua kaum dan konsisten dalam setiap perjuangannya kepada rakyat Sabah,” katanya.