TONGOD (Penangah): 243 pasangan pengantin direkodkan menerima sumbangan ehsan di bawah program Bantuan Raja Sehari di daerah Tongod melibatkan perbelanjaan RM243 ribu sejak program itu diperkenalkan pada April 2018.
Bantuan untuk mereka yang pertama kali berkahwin itu diperkenalkan menerusi manifesto peribadi ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah yang dilancarkan semasa kempen Pilihan Raya Umum 14 pada April 2018.
Menerusi bantuan ehsan ini, setiap pasangan warga Tongod yang berkahwin menerima sumbangan RM1,000 untuk menampung perbelanjaan memulakan kehidupan baharu berumah tangga.
Semalam (9 April) Masiung dan isteri, Datin Grase E. Ebin menyampaikan sumbangan kepada 21 lagi pasangan pangantin dalam satu majlis di Kg Alitang, Penangah dekat sini.
Pasangan pengantin berkenaan yang tiba di sebuah rumah rehat di kampung kelahiran wakil rakyat itu kebanyakanya mengenakan pakaian tradisi dan diraikan dalam satu majlis mengikut tradisi Orang Sungai.
Masiung yang terkenal dengan slogan “Tatap Kalaga” satu-satunya wakil rakyat di Sabah yang memperkenalkan bantuan unik berkenaan kepada setiap pasangan raja sehari di kawasan yang beliau wakili. – SABAHitz On9 TV