KOTA KINABALU: Dua puluh empat belia dari luar bandar Sabah telah direkrut oleh sebuah kilang memproses kelapa di Batu Pahat, Johor, untuk menjalani latihan sambil bekerja.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia (gambar, baru kedua lima dari kiri) berkata, belia-belia itu akan ditempatkan di kilang pemprosesan kelapa terbesar Linaco, di Batu Pahat.
“Mereka akan menjalani latihan sambil bekerja sementara menunggu kilang di Langkon siap empat tahun dari sekarang,” katanya.
Dr Roland menambah, sebaik sahaja kilang di Langkon, yang terletak di Kota Marudu siap, belia akan diberi pilihan untuk pulang dan bekerja di Langkon sebagai penyelia atau kakitangan pengurusan dan melatih pekerja baharu.
Berucap pada majlis makan malam untuk 24 belia di restoran Kopi Ping dekat sini pada Isnin, Dr Roland turut berkata ini merupakan contoh terbaik pembangunan modal insan untuk belia luar bandar di mana mereka berpeluang meningkatkan ekonomi dan membantu membawa kemajuan kepada daerah sendiri dan membina ekonomi negeri.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Linaco, Alex Yong (gambar, baris kedua, keempat dari kiri) berkata, kesemua pelatih yang diambil adalah dari Paitan dan Pitas di Kudat.
“Ini adalah pengambilan pertama. Kami akan melakukan pengambilan setiap bulan di seluruh negeri sehingga mencapai kapasiti pekerja yang ideal untuk menjalankan operasi kilang di Langkon, Kota Marudu, yang akan dibuka kemudian,” katanya.
Yong menambah kilang mereka di Langkon memerlukan 2,000 pekerja untuk menjalankan operasi harian.
Katanya, semua pelatih akan bekerja di Batu Pahat dan akan diberi penginapan percuma, air, elektrik dan makan tengah hari percuma serta pengangkutan percuma ke tempat kerja mereka.
“Mereka akan ditawarkan gaji bulanan RM1,500 dan mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi akan ditawarkan gaji yang lebih tinggi.
“Paitan dan Pitas dipilih sebagai lokasi pertama kemasukan pelatih kerana kedua-dua daerah itu adalah yang termiskin di Malaysia,” katanya.
Katanya, pelatih akan dibenarkan pulang ke Sabah selepas setahun bekerja di Johor dan sekiranya berlaku kecemasan, mereka dibenarkan pulang untuk tempoh tertentu.
Beliau berkata, tapak kilang di Langkon mempunyai keluasan 70 ekar dan memerlukan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang mencukupi.
“Sekiranya bekalan tidak mencukupi, kami merancang untuk membina loji rawatan air sendiri dan akan berbincang dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk bekalan elektrik tambahan.
“Kini, Linaco mempunyai 5,000 ekar ladang kelapa di Paitan untuk memenuhi pemprosesan 800,000 biji kelapa setiap hari.
“Kami menggunakan dua baka kelapa berkualiti tinggi iaitu Tacunan dan Sampoorna,” katanya kepada media petang Isnin.
Selain itu, Linaco turut mengalu-alukan pekebun kecil menanam kelapa Tacunan yang akan dibekalkan oleh Linaco.
Alex berkata, mereka akan membayar 80 sen bagi setiap kilogram kelapa yang ditanam oleh pekebun kecil.
“Kami juga menggalakkan petani lain menyertai kami dalam program penanaman kelapa.
“Linaco kini mengeksport produk makanan dan produk bukan makanan berasaskan kelapa ke 40 negara di seluruh dunia, di mana Amerika Syarikat merupakan pengimport utama.
“Kami akan mengeluarkan semua produk hiliran berasaskan kelapa tanpa sebarang pembaziran,” katanya.
Katanya, semua usaha terbabit melibatkan pelaburan RM200 juta untuk Sabah.
Sumber: The Borneo Post