TAWAU: Sebanyak 1,200 sejadah dan beberapa ratus bakul beras telah diedarkan kepada 22 buah masjid serta surau di sekitar Parlimen Tawau.
Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, sumbangan berkenaan termasuklah kepada masjid serta surau di kawasan Sri Tanjung, Apas dan Balung.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia, tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) juga tidak terkecuali daripada sumbangan berkenaan.
“Kita di sini khususnya Pusat Perkhidmatan Masyarakat Parlimen Tawau sangat menghargai peranan penting yang dimainkan pasukan keselamatan dalam usaha mengekalkan keselamatan rakyat.
“Masjid As-Salam Balai Tawau, Masjid Kem Kukusan Tawau, Masjid Raya (Kukusan/P. Kalabakan) dan Masjid Al-Hikmah Battalion 14 PGA Tawau. Setiap pasukan PGA berkenaan telah menerima 50 sejadah dan bakul beras,” katanya dalam satu kenyataan di sini, selepas turun padang menyerahkan sumbangan berkenaan.
Selain itu, Christina yang juga Mantan Timbalan Ketua Menteri turut menyerahkan sumbangan kepada Ketua Balai Polis Tawau, ASP Jafri Abdul Hamid.
Ketika berada di Masjid Kem Kukusan Tawau, Penasihat Agama Pasukan 516, Staf Sarjan Adzamuddin Lukaman telah menerima sumbangan daripada Christina yang diiringi Ketua Pegawai Perhubungan Pejabat Parlimen Tawau Fung Thin Yein.
Dalam pada itu, ASP Mohd Rafail Rabbahil mewakili Masjid Al-Hikmah untuk menerima sumbangan berkenaan.
Sumbangan baru-baru ini menjadikan sejumlah 3,800 sejadah telah diagihkan oleh Christina termasuklah sejumlah 2,600 sejadah yang disumbangkan kepada 51 buah masjid dan surau pada tahun lalu. – Utusan Borneo