KOTA KINABALU: Situasi COVID-19 di Sabah semakin membimbangkan apabila 21 daerah kini berada dalam zon merah berbanding dua zon jingga dan empat zon kuning.
Peningkatan itu berikutan pertambahan kes baharu di dua daerah dalam zon jingga sebelum ini iaitu Beaufort dan Kota Marudu, masing-masing merekodkan 11 kes dan 16 kes baharu hari ini.
Dua daerah yang kekal dalam zon jingga ialah Tenom dan Beluran, masing-masing mencatat sembilan kes baharu, manakala daerah Nabawan dan Telupid yang masing-masing mencatat satu kes serta Kuala Penyu dan Tongod yang tidak merekodkan kes baharu, kekal dalam zon kuning.
Secara keseluruhan, Sabah mencatat 493 kes baharu hari ini, meningkat 88 kes berbanding 405 kes semalam dengan satu kematian di Sandakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 363 kes atau 73.6 peratus dikenal pasti berpunca daripada saringan kontak rapat.
“Selebihnya dikesan melalui saringan bergejala iaitu 49 kes atau 9.9 peratus, diikuti saringan tempat kerja sehanyak 19 kes atau 3.9 peratus, saringan kendiri sebanyak 15 kes atau tiga peratus dan saringan pra kemasukan wad sebanyak 10 kes (dua peratus),” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.
Katanya, Kota Kinabalu merekodkan kes baharu tertinggi pada hari ini dengan 126 kes, diikuti Lahad Datu (49), Tawau (48), Sandakan (25), Keningau dan Kota Belud masing-masing 23 kes serta Penampang dan Tuaran masing-masing 20 kes.
Daerah lain, Kudat dan Kinabatangan masing-masing mencatat 19 kes, Kunak (16), Putatan (15), Papar dan Pitas masing-masing 14 kes, Tambunan (enam), Ranau dan Sipitang masing-masing empat kes, Semporna (satu), manakala Kalabakan satu-satunya daerah dalam zon merah tiada kes baharu hari ini.
Masidi berkata, sehingga Khamis, kumulatif kes positif COVID-19 di Sabah meningkat kepada 39,453 kes, manakala kumulatif sembuh setakat ini seramai 36,146 orang.
“Seramai 2,457 pesakit masih menerima rawatan iaitu 710 orang di hospital dan 1,747 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 62 pesakit ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.