206 Geran Tanah NT Diserahkan Kepada Pemohon Di Pitas

hajiji-tanah-NT-Pitas.jpg

Hajiji (dua dari kiri) menyerahkan pewartaan rizab perkampungan bagi sepuluh buah kampung di Pitas kepada salah seorang penerima.

Kongsi Bersama

PITAS: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menyerahkan sebanyak 206 geran tanah adat negeri (NT) kepada pemohon di daerah Pitas, pada Rabu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dan memberi keutamaan bagi mempercepatkan permohonan tanah penduduk di negeri ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, proses pengukuran tanah yang telah diduduki dan diusahakan penduduk kampung setempat diukur oleh JTU melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang diperkenalkan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Justeru, penyerahan geran pada hari ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan program PANTAS,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar di Pekan Baharu Pitas, di sini.

Hajiji berkata, pemberian geran tanah menerusi Program PANTAS telah dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2011, bertujuan memastikan pengeluaran geran berstatus NT untuk tanah hak adat anak negeri (NCR) yang sudah lama diduduki bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.

“Pemberian geran tanah ini sudah dilakukan oleh kerajaan BN sejak lebih 10 tahun lalu. Ini mungkin rakyat tidak tahu, tetapi kami dalam Kerajaan GRS-BN tidak suka berpolitik sahaja, apa yang kami lakukan sekarang ialah bekerja untuk menunaikan janji kepada rakyat menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Banyak lagi program yang akan kita lakukan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan penyerahan dan pewartaan rizab perkampungan bagi 10 buah kampung daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Sawit Kinabalu kepada Pejabat Daerah Pitas.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu agar dapat memberi tanah kepada rakyat dan ia direalisasikan hari ini.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi pelarian di kampung sendiri kerana tidak ada tanah,” katanya sambil berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan GRS- BN.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pembangunan Rumah Kedai di Pekan Baharu Pitas ini membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan negeri ini termasuklah di kawasan luar bandar.

“Kita mahu membawa Pitas yang sebelum ini dianggap sebagai daerah mundur, tetapi dalam Kerajaan GRS-BN ini, kita akan membawa lebih banyak kemajuan.

“Inilah agenda dan keutamaan kerajaan bagi memastikan agar setiap rakyat dapat menikmati pembangunan di negeri ini. Saya percaya dengan majlis pecah tanah pada hari ini, bermulalah satu titik tolak pembangunan untuk Pekan Baharu Pitas.

“Saya juga meminta kepada semua pihak sama ada pemimpin, jabatan dan agensi awam, sektor swasta serta seluruh lapisan rakyat agar bekerjasama memastikan pelaksanaan pembangunan komersial di Pekan Baharu Pitas ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Projek Komersial di Pekan Baharu Pitas ini melibatkan pembinaan 68 unit kedai teres dua tingkat sebanyak 52 Unit, kedai sesebuah dua tingkat sebanyak 2 unit dan Lot Industri sebanyak 14 unit.

“Jika dilihat projek ini bolehlah dianggap satu projek mega bagi Pekan Pitas. Pembangunan seumpama ini sudah pasti berupaya menyediakan kemudahan kepada masyarakat di sini seperti peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; ADUN Bengkoka, Harun Durabi; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar; (LPPB), Datuk Masiung Banah; Pengarah JTU, Datuk Bernard Liew; Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Haji Jansie; Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping dan Pegawai Daerah Pitas, Firus Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top