2,016 Imam Masjid, 1000 Guru Agama Sabah Terima Vaksin

arifin-ariff.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 2,016 imam masjid dan 1,000 guru agama di seluruh Sabah telah mendapat janji temu untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata mereka diberi keutamaan untuk mendapat vaksin itu di pusat pemberian vaksin (PPV) Wisma Wanita di sini dan sehingga hari ini 59 imam masjid sekitar Kota Kinabalu telah menerima dos pertama vaksin.

“Semua jemaah masjid yang melengkapkan dos pertama dan kedua diberi kelonggaran untuk menunaikan solat jemaah di masjid mengikut SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pemberian vaksin itu di PPV Wisma Wanita di sini hari pada Jumaat.

Ditanya tentang jumlah kapasiti jemaah masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha, beliau berkata pihaknya masih menunggu kelulusan Majlis Ugama Islam (MUIS) dan pihak berkaitan bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Imam Masjid Rowatib Kampung Sabang Baru, Raif Hajim menzahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan kerajaan Sabah dalam memberi keutamaan kepada mereka menerima vaksin bagi membolehkan mereka menjalankan tugas serta menunaikan tanggungjawab di kariah masing-masing.

“Saya menyeru kepada orang ramai yang masih belum mendaftar vaksin, melakukannya supaya dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 agar kita boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya yang menerima suntikan vaksin itu hari ini di PPV Wisma Wanita. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top