KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan masyarakat sekitar kampus universiti itu, berhimpun sebagai sokongan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Zionis, di sini, malam semalam.
Himpunan Solidariti Palestin yang diadakan di Dewan Canselor UMS itu dianjurkan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS dan Kelab Rakan Masjid UMS (KRUMS) untuk menerangkan situasi semasa di Palestin yang diserang rejim zionis Israel.
Turut diadakan sempena program yang juga dihadiri Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansor itu ialah pelancaran Tabung Solidariti Persatuan Mahasiswa UMS yang digerakkan MPP UMS diketuai Presidennya, Jeeva Cassandra Abdul Mumin.
Kasim dalam ucapannya menyifatkan penganjuran himpunan itu sebagai satu inisiatif yang baik dalam meningkatkan lagi kesedaran, pemahaman dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada kekejaman zionis Israel.
Katanya, himpunan itu juga bertujuan memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai isu Palestin melalui sesi perkongsian yang diadakan sepanjang program berkenaan yang julung kali diadakan di UMS.
“Matlamat akhir program ini adalah untuk menyokong hak rakyat Palestin dan mempromosikan keadilan, kedamaian serta kemerdekaan Palestin melalui usaha di peringkat universiti merangkumi semua warga UMS.
“Usaha berterusan sedemikian sangat penting ke arah menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan keazaman kerajaan Malaysia yang lantang menyuarakan solidariti untuk rakyat Palestin,” katanya.
Antara yang berkongsi kisah perjuangan rakyat Palestin ialah aktivis dan pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang juga Alumni UMS 2010 dalam program sains marin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. – BHarian