20 Rumah Setinggan Di Kolombong Terbakar

kebakaran-kolombong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kira-kira 20 rumah setinggan musnah dalam kejadian kebakaran di kawasan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Che Hwa di Kolombong awal pagi ini (Jumaat).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.10 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya seramai 33 anggota serta pegawai dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Lintas, Kota Kinabalu serta Penampang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan 20 buah rumah setinggan jenis tidak kekal dan keluasan lokasi dianggarkan 200X300 kaki persegi.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan pasukan bomba berjaya mengawal api pada jam 5.05 pagi,” katanya.

Misran berkata tindakan pantas pasukan bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan 180 buah rumah lain daripada turut terbakar.

“Sepanjang kejadian, seorang lelaki mengalami sesak nafas semasa menyelamatkan diri dari lokasi dan mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya menggunakan jentera EMRS,” katanya.

Beliau berkata operasi keseluruhan ditamatkan jam 7.55 pagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top