20 Penyandang Dijangka Pertahan Kerusi Di Sabah Pada PRU15

Bung-DLL.jpg

Enam tokoh yang dijangka akan mempertahankan kerusi masing-masing,

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 20 daripada 25 penyandang kerusi Parlimen di Sabah, hampir pasti akan mempertahankan kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) sudah mengesahkan, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, yang menyandang kerusi Parlimen Kimanis akan mempertahankan kerusi berkenaan.

BN hanya menyandang tiga kerusi Parlimen di Sabah sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu dengan dua lagi ialah Kinabatangan dan Pensiangan.

Kedua-dua kerusi itu juga sudah hampir pasti ditandingi semula penyandangnya iaitu Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Pada PRU15, BN bagaimanapun dijangka bertanding separuh daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah menerusi kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi rakan membentuk kerajaan negeri.

Ia bermakna, baki kerusi lain yang ditandingi BN dan GRS adalah muka baharu atau bekas penyandang yang dicalonkan semula berdasarkan sokongan dan penerimaan rakyat di kawasan yang ditandingi gabungan itu.

Di pihak GRS, setakat ini sekurang-kurangnya tiga penyandang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu); Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dijangka kekal mempertahankan kerusi.

Turut dijangka mempertahankan kerusi atas tiket GRS ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa di kerusi Parlimen Sipitang.

GRS ketika ini menyandang kerusi Parlimen Sipitang, Beaufort, Kudat, Ranau, Beluran dan Libaran yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selain Kota Marudu dan Keningau yang masing-masing diwakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagi blok pembangkang, semua penyandang kerusinya dijangka dicalonkan semula dengan setakat ini Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan empat penyandang iaitu Ahmad Hassan (Papar); Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Datuk Darell Leiking (Penampang) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), kekal mempertahankan kerusi masing-masing.

Walaupun belum diumumkan, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) dan seorang lagi penyandang kerusi parti itu, Ma’mun Sulaiman (Kalabakan) turut dijangka mempertahankan kerusi.

Pakatan Harapan (PH) Sabah pula sudah mengesahkan enam penyandang kerusinya dikekalkan pada PRU15 dengan tiga daripadanya DAP, iaitu Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) dan Noorita Sual (Tenom).

Dua penyandang PKR pula iaitu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Tawau dan Putatan.

Seorang lagi penyandang mewakili PH iaitu Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau bakal mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang disandangnya sejak 1999.

Satu lagi kerusi, iaitu Lahad Datu juga dijangka dipertahankan penyandangnya, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas keluar WARISAN pada tahun lalu dan BERSATU pada Jun tahun ini.

Senarai penuh calon parti yang bertanding dijangka diketahui awal minggu depan berikutan kebanyakan parti ketika ini masih dalam proses akhir memuktamadkan rundingan kerusi dan pemilihan calon. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top