KOTA KINABALU: Seramai 20 orang penduduk Kampung Darau, Inanam menyertai kursus penyediaan dan pengendalian makanan, di sini baru-baru ini.
Kursus tersebut dianjurkan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandaraya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Kursus tersebut telah dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Program Pengurusan Hotel UMS, Dr. Arif @ Kamisan Pusiran.
Pensyarah KananProgram Pemasaran, UMS, Dr. Azaze @ Azizi Abdul Adis turut berkongsi pengetahuan dan idea cara untuk membentuk produk berkualiti dan unik terutamanya cenderahati.
Ketua Program Pengurusan Pelancongan UMS, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata kursus tersebut adalah inisiatif pihaknya bersama DBKK.
“Ia bertujuan untuk membina kapasiti masyarakat mempersiapkan diri untuk menjadi destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
“Penduduk kampung telah didedahkan dalam menggambarkan, mencipta dan menyediakan hidangan yang sesuai, unik serta popular untuk dihidangkan kepada pelancong,”katanya ketika merasmikan program tersebut.
Menurutnya, masyarakat perlu menjadi lebih kreatif dan menggunakan bahan tanaman sendiri dalam penyediaan makanan dan minuman.
Katanya, UMS dan DBKK komited untuk membina kapasiti masyarakat setempat di kampung tersebut untuk mempersiapkan mereka menceburi dalam bidang pelancongan berasaskan komuniti.
“Usaha itu diharap dapat menggalakkan masyarakat untuk memelihara ekosistem hutan paya bakau yang cantik.
“Selain itu, dapat memperkasa dan mencipta pendapatan sampingan kepada masyarakat,” katanya.
Arif berkata, kursus yang disediakan itu akan mendorong budaya inovatif dalam memperkenalkan produk mereka terutamanya makanan dan minuman.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandar, DBKK, Fauzi Ahton Ag. Samad berkata, komuniti semakin bersedia untuk menerima pelancong dengan kemahiran yang mereka perolehi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kursus di Kampung Darau khasnya kepada UMS dan semua peserta yang hadir,” katanya.