KOTA KINABALU: Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpilih sebagai penerima pertama Biasiswa Kedutaan China.
Para penerima yang terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti menerima biasiswa berkenaan daripada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dalam satu majlis yang berlangsung di UMS.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, sumbangan biasiswa itu menjadikan UMS sebagai universiti awam pertama di Malaysia menerima Biasiswa Kedutaan China.
“Pemberian biasiswa daripada Kedutaan Besar China di Malaysia merupakan satu pengiktirafan kepada UMS dalam mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua negara.
“Biasiswa yang ditawarkan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan tetapi membuka pintu kepada peluang untuk pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa.
“Kita memang ada hubungan yang baik dengan China, jadi dengan pemberian biasiswa ini akan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Biasiswa Kedutaan China kepada pelajar UMS.
katanya, ini sekali gus merupakan sokongan daripada Kedutaan Besar China di Malaysia kerana UMS mempunyai kepakaran, sumber, kapasiti untuk melahirkan graduan bakal pemimpin masa depan, inovator dan penyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Sokongan daripada pihak kedutaan bakal memastikan pelajar terpilih, terutamanya daripada keluarga B40, berpeluang untuk mengejar impian mereka tanpa bebanan atau kekangan kewangan.
“Justeru, UMS merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan China kerana telah memilih UMS dan kita mengharapkan pada tahun hadapan lebih ramai lagi pelajar akan mendapat biasiswa seumpama ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shifang; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Komuniti) UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nazri; dan Pengarah Confucius Institute UMS, Dr. Chiew Tung Moi (Malaysia) dan Profesor Madya Dr Huang Yuehuwa (China). – Utusan Borneo