Menteri dan timbalan menteri BN berikrar akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka berkata demikian pada satu kenyataan bersama semalam yang ditandatangani oleh 20 menteri dan timbalan menteri daripada BN.
Bagaimanapun, mereka berkata bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.
“Kami juga telah bersetuju agar kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.
“Untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, kami berpendapat pilihan raya umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.
“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam kerajaan,” kata mereka.
Kenyataan itu dibuat hanya sehari selepas ahli parlimen BN mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi gabungan itu.