2 Polis Didakwa Mendatangkan Kecederaan

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu dalam dua kejadian berasingan.

Lans Koperal Rizal Lee Abdullah, 34, dan Sarjan Fredy Anak Francis, 32, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Rizal yang bertugas di Cawangan Pengangkutan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Jumaidi Bin Juna, 45, iaitu seorang anggota polis bantuan di parkir kakitangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Fredy yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah di IPD Papar, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Sarah Hafizah Binti Lok Siew Kee, 22, pada 23 Januari lalu, di hadapan Waterfront di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Jessica kemudian menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes Rizal manakala Fredy pada 3 Ogos.
Mahkamah juga membenarkan Rizal dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 bersama dua penjamin tempatan.

Sementara itu, Fredy turut ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 bersama dua penjamin tempatan dan diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa bersama ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top