PENAMPANG: Dua lelaki maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang ketika cuba mengelak tayar lori yang tertanggal di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam kejadian 6.30 pagi kelmarin (12 Mei) itu, kedua-dua mangsa berusia 17 dan 27 tahun itu maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir, berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Penampang menuju ke Kota Kinabalu.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian tayar gantian lori komersil berkenaan dikatakan tertanggal dan terjatuh di atas jalan.
“Ketika kejadian, dua motosikal yang bergerak dari arah sama cuba mengelak sehingga motosikal mangsa yang maut terjunam ke dalam longkang.
“Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal itu cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.
Menurut beliau, mayat kedua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses besah siasat bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, pihak polis memohon saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
“Selain itu, polis juga meminta agar masyarakat tidak menularkan sebarang imej atau klip berkaitan insiden berkenaan di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terbabit,” katanya.