KOTA KINABALU: Perjalanan pulang meraikan Krismas di pedalaman Sabah berakhir dengan tragedi buat lima sekeluarga, apabila dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung sebuah lori tiga tan.
Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka di daerah Keningau, ketika kejadian berlaku di Jalan Kimanis-Keningau pada 2 petang tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, mangsa yang maut ialah Deny Rizlin William, 36, dan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, Daphne Dale.
Katanya, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.14 petang.
“Paramedik yang tiba juga mengesahkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Tiga lagi ahli keluarga mangsa, William Baru Ngilo, 61, Daryleen Chilap, 13, dan Daniela Dale, 6, cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Misran berkata, pemandu lori terbabit hanya cedera ringan. – FMT