Dua Ahli Parlimen PKR sedang berbincang dengan “orang tengah” daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai gabungan kerajaan itu, kata sumber.
Katanya, salah seorang Ahli Parlimen itu adalah dari Malaysia Timur.
“Ahli Parlimen itu dijangka menyertai sebuah parti yang mesra PN. Beliau mengesahkan akan melompat parti,” kata sumber itu sebagaimana dilaporkan oleh FMT.
Menurut portal berita itu, pihaknya tidak dapat menghubungi Ahli Parlimen terbabit kerana telefonnya dimatikan.
Sumber itu berkata, Ahli Parlimen tersebut sebelum ini beberapa kali didekati PPBM, tetapi menangguhkan rancangan itu kerana hubungan peribadinya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Seornag lagi Ahli Parlimen yang mungkin keluar PKR adalah dari Semenanjung Malaysia.
Sumber berkata, Ahli Parlimen berkenaan pernah rapat dengan menteri kanan Mohamed Azmin Ali, tetapi tidak meninggalkan parti semasa Langkah Sheraton pada Feb 2020.
“Rundingan dengan Ahli Parlimen PKR kedua itu baharu saja bermula dan apa-apa pun boleh berlaku ,” kata sumber itu.
PKR memenangi 38 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu.