Dua Ahli Parlimen PKR keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong.
Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, membuat pengumuman itu di Facebook hari ini.
“Selepas satu tahun menilai prestasi kerajaan, hari ini 2 Ahli Parlimen PKR buat keputusan sokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, (dan) Perikatan Nasional. Tahniah Julau dan Tebrau,” tulisnya di Facebook.
Terdahulu, Sng dilaporkan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak pada Jumaat lalu.
Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang video bersama majlis pimpinan negeri pada Jumaat.
Beliau mahu melepaskan jawatan itu pada Disember tahun lalu, tetapi memutuskan untuk kekal selepas mesyuarat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Awal minggu ini, Choong menafikan beliau menyertai PN selepas membuat kunjungan kepada beberapa menteri yang menimbulkan spekulasi.
Semalam, FMT melaporkan dua Ahli Parlimen PKR dalam rundingan dengan orang tengah dari PN untuk menyertai pakatan kerajaan.
Sumber berkata, seorang daripada Ahli Parlimen itu berasal dari Malaysia Timur dan seorang lagi dari Semenanjung.
PKR memenangi 48 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi kini berbaki 36 kerusi Parlimen.