2.89 Juta Dos Vaksin Dibekal Ke Sabah Bulan Ini – Khairy

KJ-Hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan beberapa inisiatif dan perancangan khusus bagi membantu kerajaan negeri membendung penularan COVID-19 di Sabah, yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata antara komitmen utama pihaknya adalah penghantaran 2.8 juta dos vaksin pada bulan ini ke Sabah bagi membantu kerajaan negeri meningkatkan kadar vaksinasi harian.

“Kita yakin bahawa Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 dos suntikan sehari dan kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus daripada penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan September.

“Kemudian, 80 peratus daripada penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada penghujung bulan Oktober seperti mana sasaran nilai ambang yang telah ditetapkan.

“Untuk kita mencapai sasaran tersebut, kita akan memperbanyakkan ‘mobile outreach program’ dengan kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih daripada 130 program itu sepanjang September dan Oktober ini.

“Jadi kita tidak hanya bergantung pada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) semata-mata tetapi juga usaha untuk kita keluar dan melaksanakan program jangkauan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas selepas sesi mesyuarat bersama CITF Sabah bertempat di Menara Kinabalu (Pusat Pentadbiran Negeri Sabah), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah JKNS, Dr Rose Nani Mudin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah merangkap jurucakap rasmi perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, selain komitmen penghantaran vaksin ke Sabah, pihaknya juga akan menghantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah dengan kadar segera melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antaranya adalah 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak ‘oxygen regulator, lima buah kotak ubat-ubatan COVID-19 danpenghantaran peralatan perubatan tambahan ini dijangka tiba pada 7 September ini

“Selain daripada itu, terdapat juga beberapa permintaan tambahan daripada Sabah dan KKM akan menyediakan ‘modular ICU’ dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau dimana operasinya dijangka bermula pada hujung September ini,” katanya.

Khairy berkata, KKM memperuntukkan 29 buah ambulans tambahan untuk keperluan hospital di Sabah di samping akan mempertingkatkan jumlah bilangan ambulans melalui kaedah penyewaan sementara menunggu proses perolehan ambulans selesai mengikut tatacara perolehan semasa.

Bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuklah di lapangan, Khairy menjelaskan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap diarah melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September lalu.

“Seramai 50 pegawai perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 September,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top