KOTA KINABALU: Program Pengambilan Anak Angkat yang melibatkan 19 Pengakap Kanak-Kanak dari Korea Scout Southern Gyeonggi Federation telah diadakan di Rumah Pengakap, Sembulan, Kota Kinabalu pada jam 10 pagi semalam.
Program itu disertai oleh seramai 12 keluarga dari kalangan ibu bapa pengakap, Pesuruhjaya Negeri, Pesuruhjaya Daerah dan pemimpin dari sekitar Kota Kinabalu, Sembulan, Penampang dan Kota Belud.
Para ibu bapa angkat telah menyediakan pelbagai program untuk disertai oleh anak-anak angkat mereka bagi memberikan pendedahan mengenai budaya di Sabah seperti bahasa, makanan, pakaian tradisional, tarian tradisional dan lain-lain lagi.
Ada juga yang menjamu anak angkat mereka dengan nasi lemak, sate, bak kut teh dan pelbagai jenis makanan dan minuman yang tentunya tidak terdapat di Korea. Sebahagian daripada mereka turut dibawa ke Pusat Kebudayan KadazanDusun di Penampang, Dewan Seni Lukis Sabah, Muzium Sabah dan lain-lain tempat menarik.
Lebih menarik lagi, lima daripada Pengakap Kanak-Kanak berkenaan diberi sambutan meriah oleh ibu bapa angkat mereka dan Ahli-Ahli Pengakap di Tambotuon, sebuah perkampungan pelancongan terkenal di daerah Kota Belud.
Turut menyambut mereka ialah Crlyle Lajimin, Pegawai Perhubungan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedict.
Kehadiran mereka diserikan lagi dengan persembahan tarian Sumazau, manakala pada malam tadi mereka disajikan dengan makanan tradisional di kampung itu.
Sudah tentulah sehari semalam bersama-sama ibu bapa angkat tidak mencukupi tetapi kanak-kanak pengakap itu terpaksa kembali semula ke Rumah Pengakap pada pagi ini kerana pada sebelah malam nanti mereka akan berlepas pulang ke tanah air.
Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah (PPMCS) dalam kenyataannya berkata pihaknya amat bangga kerana dapat menyambut kedatangan pengakap dari Korea itu dan sudah tentu ia akan mengeratkan lagi hubungan yang sudah sedia terjalin sejak sekian lamanya di antara Persekutuan Pengakap Malaysia, khususnya PPMCS dan Pengakap Korea.