184 warga Filipina, 10 Pakistan dihantar pulang ke negara asal

PATI.jpg

KOTA KINABALU: Seramai 184 warganegara Filipina serta 10 melibatkan warga Pakistan dihantar balik negara asal menggunakan ‘Program Pembiayaan Sendiri’ di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, 184 warga Filipina dipindahkan ke destinasi asal Bongao dan Manila, Filipina manakala 10 warga Pakistan dipindahkan ke Islamabad, Pakistan.

“Sehingga ke hari ini, Jabatan Imigresen Sabah mengesahkan jumlah keseluruhan PATI dipindahkan ke negara asal adalah seramai 1,202 orang.

“Kesemua PATI ini selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Dokumen Perjalanan atau Pasport Antarabangsa yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sitti Saleha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing didapati menyalahgunakan pas serta kemudahan diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis didapati menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ini termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas Sitti Saleha.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan majikan serta masyarakat agar mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran berlandaskan undang-undang.

“Jabatan ini mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini,” kata Sitti Saleha. – SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top