18,000 liter air minuman dihantar ke kolej kediaman UMS

air-UMS.jpg

Kredit foto: FB Mustapha Sakmud

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 18,000 liter atau 1,000 karton air minuman dihantar ke kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, bagi mengurangkan masalah dihadapi pelajar yang berdepan gangguan bekalan air.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata inisiatif itu diambil Pejabat Parlimen Sepanggar selepas pihaknya dimaklumkan mengenai masalah berkenaan minggu lalu.

Katanya, penghantaran air minuman itu dibuat kelmarin dan hari sebelumnya sebagai langkah segera memastikan pelajar yang berada di kampus UMS Kota Kinabalu, tidak terputus bekalan air.

Pada masa yang sama katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) dan pengurusan UMS juga melaksanakan penghantaran air bagi memenuhi keperluan pelajar serta warga kampus.

“Untuk mengurangkan keresahan pelajar, kita menghantar 18,000 liter air mineral ke kolej kediaman yang memerlukan dan kalau ada keperluan, kita akan hantar lagi selepas ini.

“Bagi air kegunaan biasa, kita bergantung kepada Jabatan Air, sebab UMS ada tangki, jadi kita tidak mahu bertembung, mana yang Jabatan Air boleh buat atau UMS boleh buat itu mereka buat.

“Di pihak kita, penghantaran air minuman ini sebab ada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan. Jadi, kita hantar air minuman untuk kegunaan mereka buat sementara waktu,” katanya ditemui selepas majlis kesyukuran sempena setahun sebagai Ahli Parlimen Sepanggar, di sini, malam semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu gangguan bekalan air yang dihadapi warga UMS kebelakangan ini, terutama di kolej kediaman pelajar hingga menjejaskan rutin harian mereka.

Mustapha mengakui, beliau turut menerima surat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS berhubung isu itu, pada minggu lalu, meminta penyelesaian masalah berkenaan.

Berikutan itu, katanya beliau mengarahkan Pejabat Parlimen Sepanggar untuk mengatur perbincangan di antara MPP, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pengurusan universiti bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu dan langkah penyelesaiannya.

 

Sumber: HMetro

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top