180 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

PATI-filipina.jpg

Sebahagian daripada 180 PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal melalui ICQS Lahad Datu semalam: (Kredit foto: JIM Sabah)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen telah menghantar pulang 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang telah selesai menjalani hukuman di depot imigresen Sandakan ke negara asal mereka pada Jumaat.

Mereka terdiri daripada 79 lelaki, 38 wanita, dan 63 kanak-kanak, dihantar pulang melalui jalan laut menaiki feri MV Ming Hai Express ke Bongao, Filipina.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tahanan tersebut dibawa dari Sandakan ke kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Lahad Datu sebelum dihantar pulang.

“Mereka berusia antara satu hingga 80 tahun, dan kanak-kanak sama ada bersama ibu bapa atau penjaga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, semua tahanan tersebut pulang dengan kos sendiri.

Kos tersebut termasuk pengangkutan bas dari Sandakan ke Lahad Datu. Dewasa dikenakan bayaran RM375 seorang manakala kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun dikenakan RM215. Kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah tidak dikenakan bayaran.

“Mereka yang dihantar pulang telah memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain didapati telah tinggal lebih masa.

“Mereka telah menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang selepas memperoleh dokumen perjalanan mereka.

“Setakat tahun ini, seramai 6,185 warga Filipina tanpa dokumen telah dihantar pulang ke negara asal melalui jalan laut, menjadikan jumlah keseluruhan warga asing yang dihantar pulang sebanyak 8,842 orang,” tambahnya.

Beliau turut berkata, semua pendatang tanpa dokumen akan disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen.

“Proses penghantaran pulang ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan jabatan di semua depot imigresen di Sabah untuk mengelakkan penahanan warga asing yang berpanjangan,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top