KOTA KINABALU: Seramai 180 graduan daripada lapan program berjaya menamatkan pengajian di Kolej Vokasional (KV) Likas.
Pengarah Kolej Vokasional Likas Mokhtar Ibrahim berkata, daripada 180 orang yang bergraduasi pada kohort 2020, 99 peratus telah mendapat pekerjaan atau sedang menyambung pengajian manakala bakinya satu peratus pula sedang menunggu penempatan pekerjaan.
“Hal ini adalah bertepatan dengan matlamat Transformasi Pendidikan Vokasional. Oleh itu, kita menjangkakan bahawa kebolehpasaran graduan KV Likas boleh mencapai sasaran yang ditetapkan sebagaimana hasrat Kementerian dalam memartabatkan TVET KPM.
“Dalam menghadapi pelbagai kekangan akibat pandemik COVID-19, para pelajar terpaksa mengadaptasi situasi pembelajaran cara baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen kali ke-6 KV Likas di sini, kelmarin.
Beliau berkata, dengan daya usaha, kegigihan dan kesabaran para pelajar, mereka akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang seterusnya menerima diploma.
Katanya, graduan yang sudah mendapat pekerjaan diharapkan mampu menggunakan peluang tersebut untuk menambah kemahiran, menimba pengalaman dan bekerja dengan penuh integriti.
“Bagi graduan yang belum mendapat pekerjaan pula, diharapkan agar anda semua tidak berputus asa untuk terus mencari pekerjaan dalam suasana ekonomi yang muram sekarang.
“Bagi graduan yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pula, jangan sia-siakan peluang yang diperoleh.
“Berusahalah lebih gigih untuk menimba ilmu dan nikmati kehidupan sebagai pelajar menara gading dengan sepenuhnya,” katanya.
Beliau yakin semua yang berjaya bergraduasi itu akan menjadi penyumbang kepada pembangunan serta kestabilan negara.
Secara keseluruhannya, mereka yang menerima Diploma Teknologi Elektrik ialah 24 orang, Diploma Teknologi Elektronik (22 orang), Diploma Pengurusan Perniagaan (28 orang), Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran (20 orang), Diploma Teknologi Automotif (24 orang), Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara (20 orang), Diploma Teknologi Kimpalan (14 orang) dan Diploma Teknologi Binaan (28 orang).
Sumber: Utusan Borneo
Foto: FB