17 Daripada 42 Jalan Rosak Akibat Banjir Di Sabah Telah Dibaiki – JKR

IMG-20210205-WA0014.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

KINARUT: Sejumlah 17 daripada 42 batang jalan raya di Sabah  yang terputus ekoran  hujan lebat dan banjir yang berlaku pada 11 sehingga 17 Januari lepas telah diperbaiki dan boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Ir Ali Ahmad Hamid berkata dari jumlah itu sebanyak 16 batang jalan raya boleh dilalui sebelah lorong sahaja.

“Selebihnya akan diperbaiki peringkat demi peringkat dan antara jalan raya yang terjejas teruk ialah laluan Kota Kinabalu – Tambunan, bagaimanapun JKR telah membuat laluan alteratif yang boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kewangan dari Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Persatuan Kakitangan Islam JKR Sabah  kepada Rumah Anak-Anak Yatim As-Sakinah (RAY-As-Sakinah) di Taman Pantai Lokawi dekat sini pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi RAY As-Sakinah Samin Ongki ,Timbalan Pengarah JKR Kamarudin Ag Abas serta ahli jawatankuasa PKI JKR Sabah dan ahli jawatankuasa RAY As-Sakinah.

Ali Ahmad berkata JKR juga turut menggunakan peruntukan kecemasan bagi membaiki kawasan yang terlibat dengan tanah runtuh dan tidak melibatkan kos pembaikan yang tinggi.

Mengenai program berkenaan, Ali Ahmad yang juga Pengerusi PKI JKR Sabah berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial persatuan tersebut kepada komuniti luar terutamanya golongan yang amat memerlukan bantuan.

Menurutnya, program tersebut juga akan diperluaskan ke rumah-rumah anak yatim di kawasan lain termasuklah di Beaufort,Tuaran dan lain-lain.

Sementara itu  Pengerusi RAY As-Sakinah  Haji Samin Ongki turut mengalu-alukan dan menghargai  sikap cakna masyarakat luar khususnya PKI JKR Sabah yang memilih RAY As-Sakinah sebagai lokasi lawatan di samping mengulurkan bantuan kepada rumah tersebut walaupun berhadapan dengan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Semasa PKP ini RAY As-Sakinah  kurang dikunjungi kerana terikat dengan SOP yang telah ditetapkan tidak seperti sebelum PKP dilaksanakan RAY As-Sakinah sering kali menerima kunjungan dari persatuan dan orang perseorangan” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan RAY As-Sakinah kini dalam perancangan untuk mendirikan sebuah rumah Anak Yatim yang serba lengkap yang menelan belanja sekitar 1.9 juta ringgit.

“Dengan sokongan dari semua pihak termasuk sektor korporat dan individu impian untuk mendirikan sebuah rumah anak yatim yang baharu akan dapat direalisasikan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top