162 kluster SPOC terima persijilan MSPO sehingga 31 Dis tahun lepas – Chan

Chan.jpg

Chan (lima, kiri) bergambar bersama pekebun kecil kawasan Sook yang menerima bantuan skim insentif tanam semula pekebun kecil sawit (TSPKS 2.0) peringkat negeri Sabah pada majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Sook, Keningau, semalam.

Kongsi Bersama

KENINGAU: Sebanyak 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) melibatkan 177,355 pekebun kecil sawit persendirian (PKP) berjaya memperoleh Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di bawah seliaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehingga 31 Dis tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata PKP itu melibatkan kebun berkeluasan 655,189.62 hektar, manakala bagi Sabah sebanyak 29 SPOC telah memperoleh persijilan MSPO melibatkan 21,630 PKP dengan kebun berkeluasan 145,399.9 hektar.

“Kerajaan menyediakan dana insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri dan kos rak penyimpanan bahan kimia bagi terus membantu PKP dalam melaksanakan Pensijilan MSPO.

“Bagi memastikan pelaksanaan MSPO menyeluruh, MPOB menubuhkan 12 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di Sabah menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada PKP,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 Peringkat Negeri Sabah di Sook dekat sini pada Rabu.

Chan berkata sehingga 31 Dis tahun lepas terdapat 31,538 PKP yang mengusahakan kebun sawit dengan keluasan 203,679.57 hektar di Sabah dengan purata keluasan kawasan tanaman sawit bagi setiap PKP adalah 6.5 hektar.

“Sehingga tempoh itu juga sebanyak 69 Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan 69 Pusat Timbang telah ditubuhkan di seluruh negara dan sebanyak 27 KPSM terletak di Sabah dengan jumlah keahlian seramai 2,769 orang.

“Penubuhan KPSM adalah untuk menyatukan PKP bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Langkah ini dapat meningkatkan pendapatan PKP melalui rebat langganan dan dividen daripada keuntungan perniagaan koperasi,” katanya.

Beliau berkata PKP juga mendapat tawaran harga buah tandan segar (BTS) yang lebih baik dan mudah mendapat informasi terkini berkaitan bantuan daripada Kerajaan serta khidmat nasihat terus daripada pegawai MPOB.

Mengenai majlis itu, Chan berkata kementeriannya melalui MPOB menyediakan TSPKS 2.0 yang disalurkan melalui Agrobank yang menetapkan jumlah bayaran balik sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan dana yang diberikan, dengan tempoh moratarium selama 48 bulan.

“Pekebun kecil perlu mengambil peluang kemudahan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan semula potensi pendapatan melalui tanaman semula pokok sawit tua,” katanya.

Beliau berkata maklumat permohonan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 boleh diperoleh di pejabat-pejabat TUNAS MPOB dan borang permohonan skim tersebut boleh didapati secara dalan talian di laman sesawang MPOB atau cawangan-cawangan Agrobank di seluruh negara.

“Sehingga 31 Jan tahun ini, sebanyak 27 permohonan skim TSPKS 2.0 telah diterima di Sabah dengan keluasan 125.2 hektar,” tambahnya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top