KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk segera menjelaskan kewujudan 16,000 pengundi India yang berada dalam senarai daftar pemilih di Kudat.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau agak hairan apabila kerusi parlimen yang majoritinya terdiri daripada kaum Bajau Ubian itu turut mempunyai bilangan pengundi India yang ramai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya bimbang dengan keadaan ini dan saya sudah bangkitkan dengan Pengerusi SPR bahawa perlu ada penjelasan, sebab ini bukan salah dia. Kita tahu bila sistem secara automatik maka, alamat yang digunakan adalah alamat dalam kad pengenalan.
“Secara kebetulan, dalam isu ini alamat digunakan di Kudat. Sejak bila jumlah begitu besar suku kaum itu (India) di Kudat.
“Ini yang kita bangkitkan jadi jangan tuduh orang mengatakan kita (Warisan) buat kad pengenalan. Takkan saya letakkan 16,000 pengundi India di situ sedangkan saya tahu suku kaum Bajau Ubian yang berada di kawasan tersebut.
“Jangan hanya guna isu sebegini, tiada modal sehingga kita dikatakan seumpama itu,” katanya semasa mengulas tentang tentang kewujudan 16,000 pengundi India yang didaftarkan di kerusi Parlimen Kudat.
Beliau berkata demikian semasa Program Jelajah Warisan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Sepanggar semalam.
Mohd Shafie meminta agar perkara itu perlu dijelaskan dengan betul kerana perlu ada asas kepada kewujudan jumlah pengundi itu.
Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, beliau tidak boleh tuduh SPR kerana pendaftaran pengundi mengikut maklumat dalam kad pengenalan.
Sepatutnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga melihat keadaan ini kerana mereka yang mengeluarkan kad pengenalan. Mereka perlu menyemak semula dan memperbetulkan keadaan ini supaya tidak berbangkit isu pengundi hantu pada hari mengundi 19 November ini.
“Saya minta perbetulkan keadaan ini kerana tidak mahu nanti berbangkit masalah bila 19 November, yang berbaris dan turun mengundi adalah orang yang tidak duduk di Kudat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Penampang, Senator Datuk John Ambrose berkata, agak mengejutkan apabila terdapat lebih 16,000 pengundi India yang berada dalam daftar pemilih di Parlimen Kudat.
Berdasarkan statistik SPR, terdapat 3,818 pengundi India berdaftar di Banggi, 5,392 di Tanjong Kapor dan 7,446 di Pitas.- BORNEO TODAY