16 Pakej Kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Akan Dilaksana Masa Kini

pan-borneo.jpg

KUALA LUMPUR 17 APRIL 2018. Kerja melebarkan jalan untuk projek mega Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak. NSTP/ EMAIL

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: 16 pakej kerja projek lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dilaksanakan buat masa kini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Katanya, projek lebuhraya Pan Borneo Sabah secara keseluruhannya terdiri daripada tiga fasa di mana Fasa Satu diberikan keutamaan pelaksanaannya terlebih dahulu dengan anggaran jarak keseluruhan 706 km dan dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

“Sehingga kini, 12 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan pembinaan sehingga September 2021 bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah 59.67%.

“Manakala, Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kerja baharu yang melibatkan laluan daripada Sandakan Mile 32 sehingga Sungai Baoto telah dikeluarkan dan kerja-kerja pembinaan tiga pakej tersebut akan bermula pada tahun ini.

“Satu pakej kerja baharu yang melibatkan laluan dari Serusup ke Pituru pula telah diperuntukkan di dalam First Rolling Plan RP1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menjadikan keseluruhannya 16 pakej kerja dilaksanakan buat masa ini,” katanya semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Bobbey meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah status projek lebuh raya Pan Borneo bagi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri dapat berjalan dengan baik seterusnya dapat memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khusus buat rakyat Sabah.

Arthur berkata, selain menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan yang akan memberi manfaat kepada 3.9 juta rakyat Sabah secara amnya, projek lebuhraya ini perlu dilihat dari aspek yang lebih luas terutama daripada segi rantaian nilai atau ‘value chain’, di mana peluang penglibatan dapat diberikan kepada kontraktor-kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan samada sebagai perunding atau consultant, vendor, pembekal mahupun kontraktor.

“Projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan negeri Sabah.

“Projek lebuhraya Pan Borneo ini juga akan merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah koridor Sabah dan ini bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan diantara wilayah dan merentangi ekonomi seimbang diantara bandar dan luar bandar.

“Dalam masa yang sama, penambahbaikan dalam konteks perkhidmatan logistik dapat dipertingkatkan khususnya bagi pelaburan sedia ada yang telah dikenal pasti dibawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA),” kata beliau.

Katanya, Kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut dan memberi manfaat khususnya kepada rakyat Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top