16 kes berkaitan cuaca panas, termasuk tiga strok haba di Sabah

cuaca-panas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINBALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan 16 kes berkaitan cuaca panas dalam tempoh 15 April hingga 1 Ogos tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna berkata, daripada jumlah tersebut, sepuluh adalah kes kelesuan haba (heat exhaustion), tiga kes kekejangan haba (heat cramp) dan tiga kes strok haba (heat stroke).

Menurutnya, kes berkaitan dengan cuaca panas yang terkini dilaporkan adalah satu kes yang melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba dan telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 27 Julai 2023 dan telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.

“Faktor risiko yang dikenal pasti adalah terlibat dalam aktiviti bersukan dalam keadaan cuaca panas,” katanya.

Dr. Asits berkata, Jabatan Meterologi Malaysia telah mengeluarkan status cuaca panas bagi Sabah yang dikemaskini pada 4.40 petang, 1 Ogos 2023 dengan empat daerah iaitu Tuaran, Nabawan, Beluran dan Kinabatangan dilaporkan berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) dengan catatan suhu maksimum harian 35°C hingga 37°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Katanya, orang awam adalah dinasihati untuk melakukan perkara berikut untuk mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas;

* Minum air kosong yang mencukupi, kurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan, dan kurangkan aktiviti fizikal semasa cuaca panas;

* Awasi kesihatan dan aktiviti anak-anak semasa cuaca panas, galakkan anak- anak supaya membawa air kosong ke sekolah dan kerap minum air;

* Menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri dari pancaran haba matahari.

* Peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mana ketika cuaca panas, ular terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah dan kawasan sekitar.

“Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan. Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan berasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi laju, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini.

“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook JKNS semalam.

Nasihat kesihatan menghadapi cuaca panas juga boleh diperolehi daripada portal rasmi Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/cuaca- panas.html. – WARTA ORIENTAL

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top