SANDAKAN: Sambutan malam tahun baharu kebiasaannya diraikan dengan harapan dan azam baharu demi kebahagian kehidupan di masa akan datang.
Bagaimanapun berbeza bagi lapan pasangan yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) daerah ini, di sini, malam semalam, selepas didapati berdua-duaan di bilik hotel tanpa ikatan sah.
Ada juga yang cuba melepaskan diri dengan menggunakan pelbagai alasan termasuk mendakwa sudah bertunang, sedang merancang untuk berkahwin dan sudah nikah kampung tetapi belum memohon sijil nikah.
Namun, semua 16 individu berusia 18 hingga 42 tahun itu akhirnya tetap ditahan selepas gagal membuktikan mereka adalah pasangan yang suami isteri yang sah.
Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehawal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, kebanyakan pasangan yang ditahan adalah golongan muda remaja.
Katanya, ketika ditahan ramai antara mereka cuba memberikan pelbagai alasan bagi mengelak tindakan diambil.
“Antara alasan diberikan termasuk sudah berkahwin tapi belum ada sijil nikah kerana kahwin kampung.
“Malah ada juga mengaku sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi tetapi sebaliknya didapati berdua-dua di dalam bilik hotel,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi ‘Ops Ambang Tahun Baharu’, malam semalam.
Romzi berkata, semakan melalui sistem e-perkahwinan didapati semua yang ditahan tidak tersenarai atau berdaftar sebagai pasangan sah.
“Mereka akhirnya mengaku belum berkahwin dan rata-rata mereka yang ditahan ini masih muda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, Ops Ambang Tahun Baharu dijalankan bermula 24 Disember lalu.
Katanya, sepanjang operasi itu, pihaknya sudah merampas tujuh motosikal dan mengeluarkan 204 saman.
“Selain itu, polis turut menahan 10 individu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya. – Asiatimes