TAWAU: Kira-kira 1,500 pemimpin dan ahli Parti Warisan (WARISAN) Tawau daripada 30 cawangan mengumumkan keluar parti itu dan menyokong kepimpinan kerajaan negeri berkuatkuasa, semalam.
Mantan Timbalan Ketua Wira Pusat merangkap Ketua Wira Tawau, Ismail Sabran berkata, tindakan itu adalah atas kerelaan hati mereka dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Katanya, mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan disokong oleh semua parti politik tempatan supaya pembangunan negeri mampu dicapai.
“Kami yakin dengan gabungan semua parti politik dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menjadi titik permulaan kesatuan pemimpin dan rakyat di negeri ini.
“Kita tidak mahu parti yang terlalu banyak bermain politik sehingga membantutkan usaha untuk membangunan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam sidang media, di sini pada Ahad.
Menurutnya, semua langkah yang diambil itu adalah melalui perbincangan bersama ahli yang mahukan sebuah kepimpinan telus menjaga hak rakyat Sabah.
“Ketua-ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Wira Tawau yang bertindak keluar parti hari ini juga mengumumkan untuk masuk ke Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
“Kami akan menghantar borang keahlian Gagasan Rakyat secepat mungkin dan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Katanya, mereka memilih masuk Parti Gagasan Rakyat kerana melihat ia adalah sebuah parti yang mempunyai pemimpin berpengalaman dan ikhlas membantu rakyat.
“Kita lihat sendiri wakil rakyat Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan adalah contoh pemimpin berjiwa rakyat dan selalu turun padang.
“Paling penting pemimpin Parti Gagasan Rakyat turut bersungguh-sungguh memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.