150 KIR Terima Tujuh Ekar Tanah Dengan Tanaman Getah

hendrus-kota-marudu.jpg

Hendrus (lima dari kanan) bergambar bersama penerima cabutan lot penyerahan ladang LGIS, projek Agropolitan Gana, Kota Marudu.

Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: 150 ketua isi rumah (KIR) telah terpilih sebagai pemilik lot pada  penyerahan ladang (fasa 1) Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi projek Agropolitan Gana Kota Marudu di sini.

Majlis cabutan lot-lot tersebut telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Hendrus Anding.

Menurut Hendrus, cabutan itu merupakan fasa pertama dengan keluasan tujuh ekar setengah untuk setiap 150 ketua isi rumah (KIR) yang terlibat.

“Diharapkan ini dapat memberikan pendapatan bulanan dan membolehkan mereka terkeluar dari kepompong kemiskinan.

“Cabutan dibuat secara adil dan diharapkan tidak ada mana-mana pihak berasa kurang puas hati dan mempersalahkan pemimpin seperti Ketua Kampung (KK) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta LIGS yang mengendalikan cabutan lot tersebut,”katanya.

Fasa kedua akan matang dalam tempoh empat tahun lagi dan ini sudah tentu akan meningkatkan lagi pendapatan seramai 450 KIR di Skim Penempatan Grid Gana yang melibatkan 10 buah kampung.

“Seiring dengan pelaksanaan tanaman getah fasa II, pembangunan perumahan fasa II (300 buah rumah) juga bakal dilaksanakan tahun ini,” katanya yang juga merupakan ADUN Tandek.

Menurut beliau, hampir semua kemudahan asas yang penting telah ada di skim penempatan Grid Gana.

“Ini adalah hasil usaha berterusan pemimpin yang prihatin, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang selalu melihat dan mengusahakan yang terbaik bagi penduduk Skim Grid Gana.

“Boleh dikatakan semua kemudahan di sini seperti jalan aspal, elektrik, air, sekolah, skim agropilitan getah dan perumahan ini adalah hasil buah tangan beliau.

“Justeru, saya ingin berpesan agar seluruh KIR (penduduk Skim Grid Gana) bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Kerajaan semasa yang telah dapat memajukan Agropolitan Gana yang mana dapat memberikan sumber pendapatan bulanan kepada mereka.

“Saya terpanggil untuk meneruskan tanggungjawab ini setelah dipiliih sebagai Wakil Rakyat di sini.

“Oleh itu, saya berharap agar penduduk di sini tidak mudah lupa dan akan terus mengingati jasa pemimpin ini serta Kerajaan yang mempermudahkan segala urusan untuk kepentingan rakyat di sini,” ujarnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top