14,802 Sarang Penyu Direkodkan, Bakal Atasi Rekod Tertinggi Tahun Lalu

jafry.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 14,802 sarang penyu telah direkodkan tahun ini dan dijangka bakal mengatasi rekod persarangan tertinggi tahun lalu sebanyak 15,890 sarang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, berdasarkan data sejumlah 1,164,794 biji telur dikutip dan telah menetaskan sebanyak 508,842 ekor anak penyu yang sudah dilepaskan ke lautan.

“Ini menjadikan secara keseluruhannya sudah hampir 21 juta anak-anak penyu telah dilepaskan semula ke lautan di sekitar Taman Pulau-Pulau Penyu sejak tahun 1977 sehinggalah kini, iaitu selama 44 tahun.

“Secara teorinya dari 21 juta anak penyu yang dilepaskan itu, hanya 21 ribu ekor sahaja yang akan berjaya menjadi penyu dewasa. Data penyelidikan menunjukkan bahawa nisbah dari 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya seekor sahaja akan berjaya menjadi penyu dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu ke-44 secara maya di sini pagi tadi.

Jafry berkata, Taman Pulau-Pulau Penyu juga merupakan kawasan yang disenaraikan di dalam kawasan ‘Turtle Island Heritage Protected Area’ atau lebih sinonim dengan gelaran TIHPA.

Katanya, kerjasama itu melibatkan usaha pemuliharaan habitat dan kawasan pendaratan penyu di sembilan buah pulau, dan tiga buah pulau terletak di Malaysia iaitu di Taman Pulau-Pulau Penyu.

“Penubuhan TIPHA ini pada 31 Mei tahun 1996 adalah merupakan usahasama bilateral di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Filipina dalam memantapkan lagi konservasi penyu di perairan Sulu dan juga di rantau Asia Tenggara.

“Inisiatif ini amat terkenal seantero dunia sebagai satu-satunya kerjasama rentas sempadan negara seumpamanya di dunia khusus untuk pemuliharaan spesies penyu,” katanya.

Katanya, perbincangan dan kerjasama dalam pelbagai bentuk yang telah dijalankan selama lebih 25 tahun telah membuahkan manfaat dan hasil yang membanggakan demi inisiatif pemuliharaan penyu rentas negara.

“Sebagai contoh dengan inisiatif TIHPA, kedua-dua negara saling bertukar-tukar data penyelidikan khususnya dalam teknik pengurusan nurseri penyu.

“Perkongsian ini telah meningkatkan dan memperbaiki keupayaan negara masing-masing dan akhirnya meningkatkan kadar penetasan anak penyu di kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, pihaknya melalui Taman-Taman Sabah telah berjaya memberi alternatif dalam penyampaian produk pelancongan yang menarik melalui program Sarang-Angkat Penyu atau “Turtle Nest-Adoption Program” di Taman Pulau-Pulau Penyu.

“Saya sendiri pun telah menganak-angkatkan sebuah sarang penyu sebagai tanda sokongan saya kepada usaha mulia ini. Program sebegini dapat membuka peluang secara langsung kepada pelancong dan orang awam untuk menyumbang dan terlibat secara peribadi sesuatu bakti dalam usaha konservasi penyu.

“Saya difahamkan juga, sejak tahun 2016 sehingga kini, sejumlah 1,688 sarang telah anak-angkatkan dengan jumlah kutipan sebanyak RM 168,800. Kesemua wang sumbangan ini telah digunakan khusus untuk penyelenggaraan nurseri penyu di Taman Pulau-Pulau Penyu,” katanya.- Sabah Media

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top