1,456 KIR Di DUN Apas Terima Bantuan Bakul Makanan Kerajaan Negeri

nizam-1.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seramai 1,456 ketua isi rumah kategori B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menerima bakul makanan daripada kerajaan negeri Sabah, semalam.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata bantuan itu melibatkan 21 kampung di kawasan DUN Apas.

“Saya turun sendiri ke akar umbi berjumpa masyarakat di tujuh pusat mengundi di sini untuk menyampaikan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

“Bantuan ini kita sasarkan kepada golongan B40 yang terjejas susulan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan,” katanya

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bakul makanan tersebut di pusat mengundi Batu 4 Jalan Apas, di sini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, sebelum ini juga pihaknya telah mengagihkan bakul makanan serupa kepada golongan kategori e-Kasih.

“Sejak bulan Januari lalu, kami telah mengagihkan hampir 20,000 bakul makanan kepada penduduk di kawasan DUN Apas terutamanya mereka yang dikenal pasti terjejas pendapatan.

“Selain kerajaan persekutuan, negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan orang perseorangan, bantuan tersebut juga adalah atas inisiatif saya sendiri sebagai wakil rakyat,” katanya.

Menurut Nizam, pihaknya akan turun sekali lagi dalam dua minggu akan datang ke kawasan DUN Apas untuk mengagihkan bakul makanan kepada penduduk yang belum menerima bantuan tersebut.

“Bantuan itu nanti merupakan inisiatif saya sendiri selaku wakil rakyat Apas dan pihak perseorangan yang memberikan bantuan tersebut.

“Kita akan fokuskan bantuan tersebut kepada penduduk Apas yang tidak tersenarai dalam penerima Bantuan Sabah Prihatin 3.0 kali ini,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya bantuan daripada kerajaan itu dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP.

“Kami mengharapkan semua masyarakat terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan supaya tiada lagi penularan wabak COVID-19 di daerah ini,” katanya.

 

Foto: FB NIZAM Abu Bakar Titingan


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top