BELURAN: Seramai 1,400 orang hadir menjayakan Program Kasih Dan Kongsi : Kem Nutrisi Kanak-Kanak sempena Pelancaran Bulan Kebajikan 2023.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, program anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) itu bertujuan memberi pendedahan kepentingan makanan bernutrisi kepada kanak-kanak.
“Kem Nutrisi diadakan selama dua hari melibatkan kanak-kanak, ibu bapa serta guru-guru sekolah merangkumi pelbagai aktiviti antaranya pemeriksaan kesihatan, ceramah, senaman, sesi interaktif Kenali Makanan Sihat dan Tidak Sihat, ‘Food Display & Food Tasting” dan Apa Ada dengan Sayur dan Buah.
“Saya amat teruja dan yakin mereka yang terlibat terutamanya kanak-kanak seronok menyertai aktiviti yang dilaksanakan dalam masa yang sama memberi pendedahan ilmu pentingnya makanan bernutrisi kepada kanak-kanak untuk membesar dengan sihat, cergas, cerdik dan sejahtera.
“Menyedari kepentingan tersebut, program ini yang telah memasuki Fasa ke-3 diperluaskan ke daerah-daerah seperti Beluran, Telupid, Tongod, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kudat dan Nabawan bagi memastikan kanak-kanak dari keluarga B40 tidak ketinggalan mendapatkan makanan sihat dengan penyediaan pek makanan bernutrisi melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) selaku rakan kerjasama kita,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Masyarakat, Walter Joseph Kenson dalam majlis Pelancaran Bulan Kebajikan 2023 Serta Kasih dan Kongsi di Dewan Serbaguna Beluran, pada Isnin.
Beliau turut memuji MPMS selaku penganjur program kerana berjaya melaksanakan aktiviti yang sangat baik kepada kanak-kanak dan masyarakat.
“Semangat kebersamaan dan komitmen yang kukuh memberi motivasi kepada Jawatankuasa Induk Badan Kebajikan 2023 diketuai MPMS merancang melaksanakan 50 aktiviti melibatkan sukarelawan, kanak-kanak, wanita dan keluarga, warga emas serta Orang Kurang Upaya sepanjang bulan Oktober ini, antaranya membuat rumah terbuka di tiga buah Institusi Penjagaan Warga Emas Jabatan.
Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri yang juga
Pengerusi Pengurusan MPMS, Pegawai Daerah, Roger Appolonius, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pemakanan JKNS, Sharulnaz Norhazli Nazri dan Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Joeanne Lee. -JaPen Sabah/Warta Oriental