LAHAD DATU: Kira-kira 140 buah rumah yang dibina di kawasan pinggir pekan dan Batu 7 Silam diberikan notis untuk mengosongkan kawasan.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berkata, semua rumah berkenaan dibina di atas tanah milik Majlis Daerah Lahad Datu dan Pelabuhan Perindustrian Kelapa Sawit (POIC).
Katanya, operasi berkenaan pertama kali dilakukan kerana penempatan itu adalah di kawasan milik pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Hasil bancian mendapati terdapat pemilik rumah berkenaan adalah dalam kalangan warga asing dan telah membina rumah secara haram.
“Semua mereka diberikan masa selama 14 hari dari tarikh notis supaya merobohkan dan mengosongkan kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini kelmarin.
Menurutnya, tindakan itu dilaksanakan bagi mengekang rumah setinggan di daerah ini, sekali gus mengelak kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti jenayah.
Terdahulu, seramai 150 orang terdiri anggota dan pegawai pelbagai agensi telah menyertai operasi penyerahan notis berkenaan. – Utusan Borneo