14 suspek ahli kongsi gelap, termasuk ketua kumpulan, ditahan di Inanam Point

polis.jpg

Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Polis menahan 14 orang dipercayai ahli kongsi gelap yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan terkenal Double Seven, termasuk ketuanya yang bergelar ‘Ayahanda’, di Inanam Point dekat sini.

Suspek berusia 22 hingga 49 tahun itu ditahan semasa “Ops Cantas” yang diadakan di Jalan Tuaran pada 10.10 malam Rabu lepas.

Media melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Kanan Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata anggotanya dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) membuat tangkapan itu dengan bantuan polis dari balai Inanam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati mereka mendakwa ahli Pertubuhan Amal Nusantara Bersatu Sabah (ANB).

“Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mendapati logo yang digunakan oleh pertubuhan itu adalah tidak berdaftar.

“Selain itu ia mempunyai unsur geng Double 7, yang disenaraikan sebagai pertubuhan haram pada 2013,” kata Azmi ketika dihubungi pada Sabtu.

Azmi berkata, operasi itu turut menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai ketua pertubuhan ANB Bersatu di Sabah dengan gelaran ‘Ayah Abu Nilam Bersatu’.

Menurut beliau, pihaknya merampas pistol mainan meniru pistol C15, pisau pemotong daging berserta sarung dan pedang samurai dalam operasi itu.

“Selain itu, rampasan membabitkan 20 keping pelekat tertera logo kumpulan, kad ahli, 12 telefon bimbit dan empat kereta pelbagai jenis tertera pelekat pertubuhan ANB dan kumpulan Double 7,” katanya.

Azmi berkata berdasarkan siasatan awal, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 100 anggota di sekitar bandar raya ini, Kota Belud, Ranau, Semporna dan Sandakan.

Beliau berkata suspek dan barang rampasan telah dibawa ke balai polis bandar raya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top